Monday, September 6, 2010

UCAPAN AIDILFITRI MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW

~~~~~~~~~~ TAQABBALALLAHU MINNAA WA MINKUM~~~~~~~~~~~

Menjelang tibanya Syawal tidak lama lagi, pastinya kita sering menerima ucapan selamat dari ahli keluarga, sanak-saudara dan juga teman-teman. Bermacam-macam cara. Ada yang terlalu ringkas ucapannya, ada yang mengarang pantun (baik pantun serius mahupun pantun bernada gurau senda), dan ada juga yang mengucapkannya melalui ungkapan yang sangat puitis. Hakikatnya, semuanya mahu bermesra dan bergembira di hari kemenangan. Kemenangan setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Justeru itu, sempena hari Lebaran, umat Islam akan memberi ucapan selamat kepada sesama Muslimin.

~~~~~~~~~~TAQABBALALLAHU MINNAA WA MINKUM~~~~~~~~~~

Rata-ratanya kesemua ucapan yang diberikan berbentuk doa dan lafaz maaf. Sungguh, tidak dinafikan, bagus sekali amalan sebegini. Tetapi adalah lebih bagus sekiranya ucapan selamat yang kita berikan itu berpandukan sunnah.

Persoalannya di sini, bagaimanakah ucapan selamat yang dilakukan Nabi dan para sahabat sempena menyambut Aidilfitri? Berkata Al-Hafidz Ibnu Hajar [Fathul Bari 2/446]: “Dalam ‘Al-Mahamiliyat’ dengan isnad yang hasan dari Zubair bin Nufair, ia berkata (yang maksudnya): Para sahabat Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada yang lainnya, “Taqabbalallahu minnaa wa minkum” (Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu semua).” Ibnu Qudamah dalam “Al-Mughni” (2/259) menyebutkan bahawa Muhammad bin Ziyad berkata: “Aku pernah bersama Abu Umamah Al-Bahili dan selainnya dari kalangan sahabat Nabi SAW. Mereka apabila kembali dari solat eid berkata sebahagiannya kepada sebahagian yang lain, “Taqabbalallahu minnaa wa minka” (Semoga Allah menerima dari kami dan darimu).

Begitulah ungkapan selamat yang diajarkan oleh Nabi kepada para sahabat. “Menerima” dalam ungkapan tersebut bermaksud menerima segala amal dan ibadah yang kita lakukan ketika di bulan Ramadhan.

No comments: